Assalamualaikum Sahabat

Survival Politik Muslim: Ukhuwwah

Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam. Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan PAS dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat. Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi.

Cuba kita gambarkan jika kita bersatu semua ahli parlimen muslim dengan jumlah kesemuanya 129 orang manakala bukan islam 93 orang ,apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita? Jika UMNO dan PAS boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang Nabi s.a.w sebut: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan pimpinan kerajaan semasa di London, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan PAS berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti. Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza.

Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Kita mesti berusaha memerdekakan jiwa rakyat dari belunggu kepartian. Dalam negara yang memakai sistem seperti kita, parti politik itu mungkin penting. Namun ia bukan matlamat, ia hanya alat yang boleh diganti tukar jika perlu. Hubungan dan penilaian kita ke atas pihak lain, janganlah berdasarkan parti atau mazhabnya. Sebaliknya, hendaklah berdasarkan akhlak dan pemikiran. Kelompok fanatik parti sering melenting jika melihat seseorang tokoh duduk atau berkawan dengan musuh parti mereka. Lalu kadang-kala seseorang dimusuhi tanpa sebab yang jelas. Mereka selalu melenting jika ada orang yang berbeza pendapat dengan parti mereka. Sering mereka menghukum pengkritik mereka bersekongkol dengan musuh politik mereka. Mereka enggan mengiktiraf pemikiran atau idea yang baik hanya disebabkan perbezaan parti. Parti kadang-kala bagaikan agama bagi mereka. Bahkan mungkin lebih daripada agama sehingga mereka sanggup berkasih-sayang dengan yang berbeza agama, tetapi tidak dengan yang berbeza parti.

1 comment:

  1. insyallah perjuangan menegakkan hak perlu disatukan bersemadi dalam jiwa....allahuakbar

    ReplyDelete