Assalamualaikum Sahabat
Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang
Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat. Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama muslim. Firman Allah: (maksudnya) “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61). Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?. Saya fikir jika muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri. Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan `Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan `Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera `Ali menjadi takut. Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya `Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus..sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera `Aisyah dan `Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji. Tentera `Aisyah telah menyatakan: “Tentera `Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera `Ali pula menyatakan: “Tentera `Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak…(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment